Hakim bin Hizam

Screenshot 2020-11-05 031821

Salah satu nama jalan di Umm Ghuwailina, Doha, Qatar.

Hakim bin Hizam antara sahabat Nabi SAW yang paling unggul dan terserlah. Beliau merupakan anak saudara Khadijah bint Khuwaylid. Bapanya, Hizam, adalah abang kepada Khadijah yang terkorban dalam Perang Fijar sebelum kedatangan Islam. Beliau dilahirkan 13 tahun sebelum Tahun Gajah dan adalah antara beberapa orang yang menceritakan tentang peristiwa Abd Muttalib cuba mengorbankan ayahanda Rasulullah SAW yakni Abdullah. Ini menjadikan Hakim bin Hizam adalah 13 tahun lebih tua daripada Nabi SAW.


Antara keunikan Hakim bin Hizam ialah beliau merupakan satu-satunya insan di dunia ini yang lahir di dalam Kaabah. Dikatakan zaman jahiliah dahulu orang boleh keluar masuk dalam Kaabah dan sekumpulan wanita termasuk ibu Hakim bin Hizam yang sarat mengandung juga berada di dalam Kaabah apabila tiba-tiba sampai detik cemas untuk bersalin dan tidak dapat dibawa keluar Kaabah maka ketika itu jugalah proses kelahiran diteruskan dengan bantuan wanita-wanita lain di situ ketika itu. Tiada insan lain mendapat keistimewaan begini selain Hakim bin Hizam.


Sirah menyatakan bahawa Hakim bin Hizam antara yang sangat disayangi oleh ramai orang kerana keberanian dan kekuatannya dalam berperang serta kepandaiannya dalam bersyair, juga lain-lain aspek kelebihan diri yang menjadikan Hakim bin Hizam mendapat perhatian orang-orang Quraisy.


Beliau juga amat rapat dengan Rasulullah SAW sejak zaman jahiliyah lagi dan sehingga kepada zaman kemunculan Islam, Hakim bin Hizam tidak pernah sesekali menyakiti atau menyerang Muslim yang lain, dan tidak juga menyertai peperangan melawan Muslim walaupun ketika beliau masih lagi belum menerima Islam. 


Hakim bin Hazam adalah yang paling muda pernah dilantik sebagai ahli mesyuarat kaunsil Darun Nadhwa pada umur 25 tahun; bilamana pusat Darun Nadhwa hanya membenarkan mereka yang berumur 40 ke atas sahaja.


Hadis daripada Hakim bin Hazam mengatakan pada zaman jahiliyah dahulu lagi tidak ada yang paling beliau sayang melainkan Rasulullah SAW. Suatu hari ketika Rasulullah SAW berada di Madinah dan Hakim bin Hizam berada di Mekah, beliau ternampak jubah Seif ibn thi Yazin Al-Himyari dijual dipasar dengan harga 50 dinar emas. Beliau membelinya dan menghadiahkan kepada Rasulullah SAW di Madinah walhal beliau belum lagi memeluk Islam ketika itu.


Ketika peristiwa Fathu-Makkah, Rasulullah SAW menyatakan harapan baginda supaya 4 nama yang baginda sebut akan memeluk Islam dan meninggalkan syirik sebelum baginda memasuki Kota Mekah. Antara 4 nama itu ialah Hakim bin Hazam. Dan tatkala Rasulullah SAW masuk dan menawan kembali Kota Mekah, baginda membuat pengumuman bahawa sesiapa yang berlindung di Kaabah akan selamat, sesiapa yang masuk ke rumah Abu Sufyan akan selamat, dan sesiapa yang masuk ke rumah Hakim bin Hazam juga akan selamat. 17:00